Kaum Asal Suku Temuan, Tadom Hill
– Naskah Warisan Yang Semakin Pupus
Pada 18 hingga 19 Mac 2023 ASFON WP telah menganjurkan satu Program Outing Fotografi Siri 2 tahun 2023 kolaborasi bersama Tadom Hill Resort.
Penyertaan jurufoto di kalangan ahli ASFON WP dan bukan ahli adalah amat menggalakkan. Seramai 16 orang jurufoto pelbagai genre bersama AJK ASFON WP telah berkampung selama dua hari di Tadom Hill Resort bertujuan untuk menyingkap serta merakam keindahan alam semula jadi (nature), kehidupan masyarakat orang asli Suku Temuan, senibina resort, pembuatan arang dan cuka buluh, keindahan matahari terbenam (sunset) dan juga merakam keindahan waktu malam (milkyway).
Mengapa ASFON WP memilih Tadom Hill Resort?
Semestinya sebab lokasi ini mempunyai beberapa keunikan tersendiri, mempunyai kemudahan resort berkonsepkan alam semula jadi yang amat menarik yang berasaskan pelbagai spesies pokok buluh dan yang paling ‘best’ adalah tempat ini mudah untuk diakses dari Lembah Kelang. Keindahan alami yang belum terungkap (hidden gems) iaitu Tasik Biru Kristal (Crystal Blue Lake) cukup mempesona kepada sesiapa sahaja yang melihat buat pertama kali.
Rakit yang diperbuat dari buluh yang digunakan oleh orang asli Suku Temuan yang mencari hasil tasik juga mencuri perhatian kepada semua jurufoto yang mengikuti program ini. Lepas ini peminat fotografi Malaysia tak perlu nak pergi jauh-jauh ke negara jiran semata-mata untuk merakamkan keindahan alam yang sememangnya ada di negara kita. Struktur bukit seperti ‘pinnacle’ peninggalan aktiviti kuari tanah juga menjadikan persekitaran Bukit Tadom amat cantik dan ada nilai ‘authentic’.
Kehidupan Suku Temuan ini menjadi subjek utama dalam program outing kali ini.
Walaupun kehidupan mereka dikelilingi oleh pembangunan KLIA, namun budaya dan adat resam mereka masih dijaga dan dikekalkan. Rakaman momen aktiviti kehidupan harian seperti mencari ikan, menyumpit, anak-anak bermain dan sebagainya dapat kami rakamkan.
Sementelah lagi pada outing kali ini adalah minggu cuti persekolahan, jadi ramailah anak-anak Suku Temuan hadir sama-sama memeriahkan program ini. Rakaman anak-anak Suku Temuan bermain dengan denak ayam hutan yang jinak sungguh istimewa. Semburan air untuk mandian ayam merupakan klimaks momen yang dapat dirakamkan pada penghujung outing.
Selari dengan perlembagaan ASFON WP Fasal 4; Tujuan-tujuan dan Maksud-maksud, semua AJK ASFON yang terlibat juga telah memberikan ilmu dan tunjuk ajar kepada semua peserta yang terlibat.
Naskah momen warisan orang asli Suku Temuan beserta keindahan alam semulajadi kawasan Tadom warisan yang hampir pupus ini, kita simpan, dokumenkan dan kongsikan kepada netizen. Semua naskah momen ini telah diambil menggunakan kamera digital, drone dan juga smartphone sepanjang progam ini yang berlangsung.
Akhirnya program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan rata-rata komen di group Whatsapp dari semua peserta yang hadir pada Program Outing Fotografi Tadom Hill Siri 2 2023 menitipkan komen-komen yang sungguh positif kepada ASFON WP dan mereka berharap agar ada outing sebegini untuk siri-siri seterusnya.
Photography Outing Tadom Hill v2.0
– group foto bersama peserta foto outing kali ini
Follow kami di social media untuk informasi terbaru tentang photography outing anjuran ASFON WP yang akan datang. Untuk sebarang cadangan atau buah fikiran bagi penambahbaikan aktiviti outing kita, boleh tinggalkan message anda pada ruangan komen di bawah.
Terima kasih kerana singgah, kita jumpa di posting seterusnya ya.
Mohd Shamsi Sumairi
- Timbalan Presiden ASFON WP 2023