Masyarakat Malaysia Madani merupakan kunci dalam keharmonian sejagat
Perpaduan ialah aset negara yang perlu dipelihara dan dilestarikan untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Perpaduan menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang maju dan makmur. Perpaduan dalam kepelbagaian yang telah wujud sejak sekian lama, ialah keunikan yang menjadi sumber kekuatan kita. Justeru, kepelbagaian warisan yang kita miliki sama ada daripada segi kaum dan etnik, bahasa, budaya dan adat resam serta agama dan kepercayaan perlu diketengahkan untuk diketahui dan difahami oleh masyarakat Malaysia. Warisan-warisan peradaban dan ketamadunan bangsa juga wajar untuk terus disegarkan dalam mendidik rakyat untuk mendalaminya, demi membentuk, membina dan memperkukuhkan keyakinan, jati diri serta semangat cinta kan tanah air.
Masyarakat Malaysia Madani mencitrakan masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian, kebendaan serta beradab dan menyanjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan. Keseimbangan aspek-aspek tersebut merupakan kunci dalam keharmonian sejagat yang telah diberi penekanan dalam Islam. Pucuk pimpinan negara mahu kemasyarakatan menjadi tunjang kepada pembinaan negara, bangsa dan keilmuan, prinsip demokratik, perpaduan, dan kebebasan menjadi bumbung kepada gagasan masyarakat madani.
Mengambil asbab perkara di atas, Angkatan Senifoto Wilayah Persekutuan (ASFON WP) mengadakan ‘Photography Outing’ Masyarakat Malaysia Madani Vol. 1 yang bertemakan Program Semarak Merdeka UPM 2023. Ianya adalah kolaborasi bersama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Fujifilm (M) Sdn. Bhd.
Program Semarak Merdeka UPM 2023 akan di adakan di 31 lokasi Pusat Tanggungjawab (PTj) di sekitar kampus UPM bermula 15 sehingga 17 Ogos 2023. Setiap hari terdapat 10 ke 11 lokasi PTj yang membuat aktiviti sambutan Program Semarak Merdeka UPM 2023 untuk jurufoto mengambil gambar .
Program ini juga merupakan wadah untuk ahli-ahli ASFON WP dan juga rakan-rakan ASFON WP mengisi ruangan ilmu fotografi, berjumpa sesama ahli, mendapatkan momen budaya masyarakat Malaysia yang berlainan budaya yang akhirnya nanti dikongsikan di dalam sosial media dan juga medium yang lain. Kolaborasi ASFON WP, UPM dan Fujifilm (M) Sdn. Bhd adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga sebagai bukti komitmen dalam menyumbang kepada perpaduan masyarakat.
Perkongsian fotografi dan videografi oleh Fujifilm (M) Sdn. Bhd. pula, merupakan ruang untuk jurufoto mengetahui teknologi digital yang terkini yang boleh dimanfaatkan. Peserta juga boleh menguji cuba kamera dan lensa terkini keluaran Fujifilm. Setiap hari aktiviti bermula seawal pukul 8.00 pagi sehingga selesai. Gambar-gambar terbaik sepanjang program akan dipamerkan di ruang legar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM pada 30 Ogos 2023 sempena sambutan bulan Kemerdekaan 2023.
Semoga iltizam ASFON WP berkolaborasi bersama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Fujifilm (M) Sdn. Bhd. dapat direalasasikan dan ianya nanti menjadi satu wadah yang terbaik untuk agenda perpaduan negara Malaysia.
Untuk informasi lanjut dan penyertaan acara Outing Masyarakat Malaysia Madani (MMM) vol. 1 di UPM boleh terus ke link di bawah:
Follow kami di social media untuk informasi terbaru tentang photography outing anjuran ASFON WP yang akan datang. Untuk sebarang cadangan atau buah fikiran bagi penambahbaikan aktiviti outing kita, boleh tinggalkan message anda pada ruangan komen di bawah.
Terima kasih kerana singgah, kita jumpa di posting seterusnya ya.
Mohd Shamsi Sumairi
Timbalan Presiden ASFONWP 2023
Follow Shamsi on social media